
JOHOR BAHRU – Ranhill SAJ yang mengemukakan permohonan pelarasan tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini komited memastikan pelarasan dirangka penuh teliti agar tidak membebankan sebahagian besar pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, permohonan ini dibuat demi keterjaminan bekalan air yang bersih, selamat dan mampan mampu memastikan rakyat terus menikmati kehidupan lebih baik.
Menurutnya, permohonan itu dibuat setelah kajian terperinci dilakukan serta proses libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk kajian kepuasan pelanggan dengan para pengguna.
“Usaha naik taraf berterusan perlu dilakukan untuk memastikan pembekalan air Johor berada dalam keadaan terbaik. Ini penting bagi menghadapi cabaran masa hadapan seperti pertumbuhan penduduk, kepesatan pembangunan, kestabilan dan mengoptimumkan keupayaan pembekalan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anuar berkata, dana daripada pelarasan ini akan digunakan untuk menaik taraf sistem paip lama, membaiki kehilangan air, menambah baik loji rawatan air dan memperkukuh infrastruktur bekalan air.
“Setiap sen yang dibelanjakan akan disalurkan kembali kepada pengguna dalam bentuk perkhidmatan yang lebih cekap dan sistem yang lebih moden serta tahan lasak,” ujarnya lagi.
Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, katanya, Ranhill SAJ dijangka membelanjakan kira-kira RM3 billion bagi pembiayaan naik taraf, memodenkan loji rawatan air dan menggantikan paip lama untuk mengurangkan kehilangan air.
Peruntukan yang sama akan digunakan untuk memperluas infrastruktur bagi menampung permintaan sedia ada dan baharu serta melaksanakan sistem pintar untuk meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan.
Syarikat itu juga komited untuk terus membantu mereka yang memerlukan termasuk dengan menyediakan rebat khas kepada kumpulan rentan.
“Kami mohon sokongan dan kepercayaan berterusan daripada semua pihak khususnya para pengguna.
“Setiap pelarasan merupakan pelaburan dalam memastikan pengguna sedia ada serta generasi akan datang tidak akan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air yang berkualiti,” jelasnya sambil menambah sebagai negeri yang sedang pesat membangun, Johor memerlukan sistem bekalan air yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Semalam, SPAN mengesahkan telah menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri yang berada di bawah kawal selianya.
Bagaimanapun, SPAN berkata, pihaknya masih meneliti permohonan daripada Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.
“Kesemua permohonan berkenaan masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette



