News

MyDAMS bakal jadi keperluan wajib pengurusan keselamatan empangan

MyDAMS bakal jadi keperluan wajib pengurusan keselamatan empangan

Nik Nazmi berkata setiap sektor dan individu harus bekerjasama untuk mengekalkan aset infrastruktur. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang berusaha menjadikan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDAMS) sebagai keperluan wajib dalam pengurusan keselamatan empangan di seluruh negara.

"Kita berharap garis panduan ini diguna pakai sepenuhnya dalam pengurusan keselamatan empangan," kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Air Kebangsaan 2023 di sini pada Rabu.

MyDAMS yang telah dilaksanakan sejak September 2017 membolehkan pengurusan keselamatan kesemua 104 empangan dijalankan secara sistematik setanding dengan pengurusan empangan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata setiap sektor dan individu harus bekerjasama untuk mengekalkan aset infrastruktur memandangkan aset air dan pembentungan adalah penting sebagai perkhidmatan awam dan pembinaan negara.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab penjaga aset untuk menyediakan penyelenggaraan dan penjagaan diperlukan sebagai sebahagian daripada komitmen persekitaran dan tadbir urus sosial (ESG) mereka untuk meminimumkan risiko kegagalan struktur selain memastikan keselamatan awam.

Persidangan dan Pameran Air Kebangsaan 2023 bertemakan Strategic Asset Management for Water and Wastewater Utilities merupakan platform untuk penglibatan dan interaksi dalam kalangan penggubal dasar, pelaksana dan pengendali serta pemain industri air, badan bukan kerajaan serta pengguna.

Persidangan dua hari anjuran Persatuan Air Malaysia (WMA) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd bertujuan meneroka masalah, trend juga amalan murni bersama teknologi baharu dalam arena pengurusan aset kemudahan bagi utiliti air di Malaysia.

-- BERNAMA

Awani

MyDAMS bakal jadi keperluan wajib pengurusan keselamatan empangan | Astro Awani

Bernama
Jun 15, 2023 06:45 MYT

 

Share Us :

Loading...