News


Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK), yang diwakili Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin (dua, kanan) pada Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanic, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang (kanan). - Foto BERNAMA

 

KLANG: Mana-mana kerajaan negeri yang enggan melaksanakan kenaikan tarif air perlu menyediakan mekanisme bersesuaian, termasuk membuktikan mereka tidak akan berdepan krisis air pada masa depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, berkata kementeriannya sentiasa sedia berbincang dengan negeri yang berkaitan bagi mengelak berlakunya krisis air.

Katanya, jika kerajaan negeri enggan menaikkan tarif air, beliau akan mengadakan perbincangan mengenai mekanisme lain kepada Kementerian Menteri Air Tanah Sumber Asli untuk menyakinkan masalah krisis bekalan air tidak akan berlaku pada masa depan.

“Tetapi kita tahu negeri mana yang berada dalam situasi kritikal sekarang. Kalau kita tidak buat apa-apa (tindakan) dalam tempoh lima tahun ini, akan ada masalah air yang besar dalam negara.

“Kita akan cuba atasi dengan program yang kita buat untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Jika tidak mula sekarang, pasti akan ada satu krisis pada masa depan,” katanya pada sidang media sempena Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanik, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin.

Kenyataan Dr Xavier sebagai mengulas pendirian kerajaan Negeri Sembilan yang tidak akan menaikkan kadar tarif air, di sini semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan sebagai berkata, tiada kenaikan tarif air dalam tempoh lima tahun di negeri itu.

Bagaimanapun, Dr Xavier bagaimana mengesahkan sudah banyak negeri yang bersetuju dengan kerajaan berhubung pelaksanaan tarif air baharu itu.

“Ada negeri yang setuju akan bawa ke Kabinet untuk kelulusan dan akan umum dalam masa terdekat. Negeri yang belum bersedia kita akan terus bincang dengan mereka.

“Apabila semua negeri bersetuju, pelaksanaan akan dilakukan tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, semua pihak perlu memahami industri air memerlukan bajet besar bagi memastikan seluruh negara mendapat air 24 jam sehari selama 365 hari setahun.

“Sekarang kita ada simpanan air yang sangat rendah di semua negeri termasuk Selangor, Johor, Pulau Pinang... untuk tingkatkan simpanan itu kena ada banyak perbelanjaan modal (capex),” katanya.

Mengulas mengenai program itu, Dr Xavier berkata, KATS mensasarkan penanaman 100 juta pokok membabitkan Pokok Merbau, Kering Neram, Meranti Melantai, Penaga Lilin, Bungor, Tampoi dan Tualang di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

“Ini antara usaha kementerian memulihara kawasan berhutan di negara ini, selain menyemai sikap tanggungjawab dan cintakan alam sekitar serta mempromosikan pokok kebangsaan seperti Merbau. Keseluruhannya, 140 pokok daripada 36 spesis pokok hutan ditanam di sekitar kawasan ini.

“Hampir semua pokok yang ditanam dipamerkan dalam Pameran Hutan Kita antara 23 Ogos hingga 22 September lalu yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mengisytiharkan Pokok Merbau (Intsia Palembanica) sebagai pokok kebangsaan,” katanya.

Source : www.bharian.com.my

Share Us :

Loading...