News

Kuala Lumpur – Persatuan Air Malaysia (Malaysian Water Association – MWA) mendesak kerajaan mengenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan mencemarkan sumber air dan alam sekitar berikutan terlalu banyak insiden sedemikian sehingga menjejaskan bekalan air bersih negara.

MWA dalam mesyuarat semalam melahirkan kebimbangan mereka terhadap gangguan bekalan air terawat dan pencemaran sumber air mentah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)sekarang berikutan kes terbaharu pencemaran di di Ulu Keratong, Pahang minggu lalu.

Menurut Presidennya, Dr Ir Ts Haji Mohmad Asari bin Daud, MWA berasa bimbang dengan insiden gangguan bekalan air terawat di Keratong baru-baru ini kerana ianya menjejaskan pelbagai aktiviti harian masyarakat terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Turut terjejas tentunya pengguna-penguna daripada sektor industri dan komersil yang mana mengalami gangguan terhadap operasi dan mungkin melibatkan kerugian yang besar kepada syarikat terutama ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.”

“Bagaimanaoun MWA memuji tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta operator-operator air dari seluruh negara yang turut memberikan bantuan bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan terbabit.”

Pencemaran yang berlaku Sungai Pukin, Ulu Keratong, Rompin, Pahang itu telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong yang menerima sumber air mentah dari Sungai Pukin dekat Rompin tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terpaksa menyediakan sejumlah 300 buah tangki air statik dan 28 buah lori tangki ke kawasan yang terjejas.

Menurut Mohmad Asari, MWA mendapati pencemaran tersebut berpunca daripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit yang runtuh. Ini telah memberi kesan buruk kepada 11,500 pemegang akaun PAIP.

Apa yang membimbangkan MWA situasi ini bukanlah kali pertama berlaku di negara kita, namun pihak yang terbabit tidak mahu mengambil pengajaran daripada keperitan pengguna bekalan air terawat yang terjejas.

“MWA sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) untuk industri air dan pembetungan yang juga dilantik oleh Kerajaan memandang serius perkara sebegini dan menyuarakan kebimbangan kami terhadap masa depan industri ini sekiranya kejadian seperti ini terus berulang.”

“Pencemaran ke atas sumber air mentah yang kerap berulang ini mengakibatkan loji rawatan air terbabit tidak dapat meneruskan operasi untuk merawat air mentah. Ini kerana operasi loji rawatan air bergantung kepada tahap kualiti air mentah (kebanyakannya bersumber dari sungai) yang tertentu.”

MWA menyifatkan Pihak operator air telah menjalankan tanggungjawab dengan memberhentikan operasi merawat air sekiranya kualiti air di muka sauk tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh SPAN mahupun pihak Kementerian  Kesihatan Malaysia (KKM).

Gangguan operasi yang tidak dirancang seperti ini sering menyebabkan gangguan kepada operasi penyaluran bekalan air terawat kepada pengguna.

“Akhir tahun lalu, pengguna-pengguna bekalan air terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan terpaksa berhadapan dengan insiden pencemaran sungai yang menyebabkan beberapa loji rawatan air utama henti tugas. Insiden kekerapan penutupan LRA Sungai Selangor dan LRA Rantau Panjang adalah berpunca daripada pencemaran sumber air mentah yang disebabkan oleh industri dan pembuangan limbah haram.”

Menurut MWA penutupan berulang kali juga berlaku di loji rawatan lainnya. Antaranya, LRA Semenyih dan LRA Sungai Selisik di Selangor serta penutupan LRA Sungai Sayong, LRA Semangar, LRA Sungai Johor, LRA Simpang Renggam, LRA Skudai dan LRA PUB Tai Hong di Johor.

“Loji-loji terbabit pernah berhadapan dengan insiden henti tugas sepenuhnya akibat pencemaran sumber air mentah yang didapati berpunca daripada kejadian kebocoran kolam air larutan resapan (leachate) di tapak-tapak pelupusan sampah, pelepasan tidak mematuhi peraturan dari kilang-kilang serta kecuaian pihak-pihak yang mengendalikan bahan-bahan pencemar sehingga menyebabkan pencemaran air mentah.

“Kes terbaru yang berlaku di Ulu Keratong pula amat mengejutkan kerana pencemaran sebegini juga berlaku di kawasan luar bandar. Ini bermakna pada masa kini, insiden pencemaran sumber air mentah di sungai-sungai tidak hanya berlaku di kawasan maju dan kawasan perindustrian seperti di negeri Selangor dan Johor,” kata Mohmad Asari bin Daud dalam kenyataan media semalam.

Sehubungan itu, pihak MWA beranggapan sudah tiba waktunya bagi semua pemegang taruh dalam industri air untuk meningkatkan usaha secara bersepadu untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa depan. Selain undang-undang dan peraturan yang lebih ketat, penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan hendaklah mampu menjadi deterrent (pencegah) kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Hukuman yang ringan dan terlalu kecil berbanding keuntungan perniagaan mereka menyebabkan insiden seperti ini masih lagi tidak dapat dibanteras. Usaha bersama oleh masyarakat dan semua pihak yang berkepentingan harus digembeling ke arah kesejahteraan persekitaran kita dan membantu untuk mencegah kejadian pencemaran sumber air mentah berulang. Ia sekali gus dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air terawat kepada pengguna,” tegas Mohmad Asaari.

 



By Editor
https://suara.tv/24/07/2021/kenakan-hukuman-lebih-tegas-kepada-pencemar-sumber-air-mwa/   

Share Us :

Loading...