News

Loji Rawatan Air Keratong tidak dapat beroperasi, berikutan insiden pencemaran di Sungai Pukin berpunca daripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit runtuh.- Foto Bernama

Loji Rawatan Air Keratong tidak dapat beroperasi, berikutan insiden pencemaran di Sungai Pukin berpunca daripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit runtuh.-
Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, dalam menangani isu pencemaran sumber air di Ulu Keratong, Pahang, berjaya meringankan masalah dihadapi 11, 500 penduduk yang terkesan di kawasan terbabit.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Dr Ir Mohmad Asari Daud, berkata masalah pencemaran sumber air itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong yang menerima sumber air mentah dari Sungai Pukin, Rompin tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Susulan itu katanya, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terpaksa menyediakan sejumlah 300 tangki air statik dan 46 lori tangki ke kawasan yang terjejas.

"LRA Keratong tidak dapat beroperasi, berikutan insiden pencemaran di Sungai Pukin berpunca daripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit runtuh.

"Bantuan lori tangki juga diperolehi daripada operator negeri lain yang diselaraskan oleh SPAN sebagai langkah bagi mengurangkan impak gangguan operasi bekalan air terawat di kawasan berkenaan.

"MWA memuji tindakan pantas KASA dan SPAN serta operator air dari seluruh negara yang turut memberikan bantuan bagi meringankan dihadapi penduduk di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Mohmad Asari berkata, kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku namun pihak yang terbabit tidak mahu mengambil pengajaran daripada kesusahan terpaksa dilalui pengguna bekalan air terawat yang terjejas.

Katanya, sebagai Badan Peneraju Industri untuk industri air dan pembetungan yang dilantik kerajaan, MWA memandang serius perkara ini dan bimbang dengan masa depan industri sekiranya kejadian sama berulang.

MWA katanya, menyokong hasrat KASA mengenakan tindakan dan hukuman lebih tegas serta berat, termasuk denda sehingga RM15 juta melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 seperti pernah disebut Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, MWA juga berharap kerajaan mempertimbangkan memberi kelulusan bertugas dan operasi secara optimum kepada industri berkait rantaian bekalan industri air serta pembetungan.

"Tanpa perkhidmatan mereka, bekalan air iaitu essential service mungkin berhadapan dengan masalah untuk memberikan perkhidmatan berterusan.

"Tetapi kami sedar, kebenaran ini mestilah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

 


Oleh Siti Haliza Yusop - Julai 24, 2021 @ 10:46am
[email protected]
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/842633/tindakan-pantas-kasa-span-ringankan-masalah-penduduk-ulu-keratong

Share Us :

Loading...