
Ranhill SAJ berjaya catat NRW rendah, terima dana kerajaan
PUTRAJAYA – Pembekal air terawat Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd., menerima peruntukan lebih RM120 juta di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan.
Syarikat itu menerima pendanaan tersebut menerusi bayaran imbuhan balik daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam, berkata suntikan peruntukan itu membolehkan projek-projek berimpak tinggi dan mampan dilaksanakan bagi kepentingan pengguna di seluruh Johor.
“Pencapaian kadar NRW sebanyak 24.1 peratus yang dicapai pada tahun 2023 merupakan yang terendah dalam tempoh lima tahun, berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu 24.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Menurut Khairul, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat.
Katanya, dana yang diterima itu akan turut digunakan bagi penggantian paip-paip lama, pemasangan peralatan mengesan kebocoran, serta peluasan kawasan pengukuran meter daerah (DMA).
Usaha itu dijangka mampu meningkatkan kecekapan pemantauan sistem bekalan air kepada lebih empat juta pelanggan di seluruh Johor, tambahnya.
Geran tersebut merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi merangsang transformasi industri air negara. Ia diberikan kepada operator air yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek kecekapan dan kelestarian air.
Dua lagi operator pembekalan air, iaitu Air Selangor (AiS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU), turut menerima geran padanan pada majlis tersebut.
Sumber: malaysiagazette.com